Petronas miliki sumber minyak baru (Lapangan minyak Cendor) - Isam Ismail

Friday, May 03, 2013

Petronas miliki sumber minyak baru (Lapangan minyak Cendor)

PETRONAS menerusi strategi agresifnya untuk meningkatkan sumber, pengeluaran dan nilai, berjaya menukarkan telaga minyak kecil luar pantai Terengganu, Cendor Graben-2 menjadi antara lapangan pengeluaran minyak terbesar negara ini.

Syarikat minyak nasional itu semalam mengumumkan, kejayaan aktiviti penggalian telaga minyak Cendor Graben-2 yang terletak dalam blok PM304.

“Telaga yang digali pada kedalaman kira-kira 1,000 meter itu, disahkan terdapat kehadiran minyak dan sedikit simpanan pengalas gas,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di Kuala Lumpur semalam.


Katanya, proses penggalian itu dilaksanakan oleh pengendali Blok 304, Petrofac (Malaysia PM304) Ltd dengan rakan usaha sama yang terdiri daripada PETRONAS Carigali Sdn Bhd, Kuwait Foreign Petroleum Exploration Company serta PetroVietnam Exploration Production Corporation Ltd.

Lapangan minyak Cendor ditemui oleh Amerada Hess pada 2001, bagaimanapun, penemuan itu pada awalnya dianggap kecil dengan anggaran sumber boleh ditemui adalah kira-kira 12 juta tong (MMstb) minyak, yang mana ketika itu dikatakan terlalu berisiko serta tidak memberi keuntungan jika dimajukan.

Pada Mei 2004, Petrofac mengambilalih kepentingan Amerada Hess dan meneruskan pengendalian Blok PM304.

“Dipacu oleh strategi PETRONAS untuk menambah sumber, pengeluaran dan nilai, maka penilaian secara agresif serta kempen pembangunan telaga minyak dilaksanakan sehingga membolehkan lapangan minyak kecil itu bertukar menjadi kawasan yang mampu menjana hasil.
“Usaha yang dilakukan berjaya menukar Cendor daripada sebuah lapangan yang dianggap kecil menjadi antara lapangan minyak terbesar di Malaysia,” kata kenyataan itu.

Cendor dibangunkan menggunakan Unit Pengeluaran Pengendalian Mudah Alih (MOPU) yang dipajak dan minyak pertama berjaya ditemui pada September 2006.

“Ia adalah aplikasi MOPU pertama di Malaysia dan dianggap penyelesaian pembangunan yang baru ketika itu,” kata PETRONAS.

Firma minyak dan gas negara itu berkata, sejak pengeluaran minyaknya yang pertama, lapangan Cendor mencatatkan prestasi di luar jangkaan sehingga mencetuskan kegiatan seterusnya di lapangan berkenaan serta kawasan berhampiran Blok PM304.

“Ia telah mencetuskan pembangunan Fasa 2 Cendor dan pembangunan baru lain di PM304 yang meningkatkan anggaran sumber boleh ditemui kepada kira-kira 200 MMstb, iaitu 16 kali ganda berbanding semasa ia mula ditemui,” katanya.

Kenyataan itu menambah, pembangunan di PM304 dengan usaha yang dipercepatkan sejak dua tahun lalu dijangka akan memulakan pengeluarannya secara berperingkat sepanjang 2013, sekali gus meningkatkan pengeluaran kepada kira-kira 30,000 tong sehari menjelang akhir tahun ini.

"Peningkatan sumber juga dapat disaksikan di lapangan minyak dan gas lain Malaysia, seperti lapangan Berantai RSC and Balai RSC.

“Lapangan Berantai, yang memulakan pengeluaran tahun lalu mencatatkan peningkatan sehingga 15 peratus anggaran sumber gas boleh ditemui berbanding 2011, hasil usaha pembangunan yang dilaksanakan.

“Kerja pra pembangunan di Balai Cluster juga memberi petunjuk awal peningkatan anggaran sumber,” kata PETRONAS. 

Cendor Graben-2 temui sumber minyak baru

No comments:

Terima Kasih kerana sudi menapak. Jangan lupa tinggalkan komen untuk jejak anda:) SINCE 2012