USM lahir siswazah perubatan nuklear - Isam Ismail

Tuesday, October 23, 2012

USM lahir siswazah perubatan nuklear

UNIVERSITI Sains Malaysia (USM) dalam agendanya memacu transformasi pengajian tinggi negara mencipta sejarah dengan kejayaan melahirkan lima siswazah sulung Sarjana Perubatan Nuklear di Asia.

Naib Canselornya, Prof Datuk Omar Osman berkata, idea dan objektif awal mewujudkan kursus itu di Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) USM adalah untuk memenuhi keperluan tenaga pakar dalam bidang berkenaan.

Menurutnya, USM secara tidak langsung berbangga menjadi universiti pertama di Asia yang melahirkan siswazah sulung dalam bidang Sarjana Perubatan Nuklear, satu bidang agak kritikal dan penting untuk masa depan negara.

“Kita adalah yang pertama di rantau ini mengeluarkan siswazah dalam sarjana ini dan ia merupakan sebahagian daripada usaha USM untuk melahirkan siswazah dalam bidang keperluan sekarang dan masa hadapan,” katanya pada sidang akhbar selepas Konvokesyen USM kali ke-46, barubaru ini.

Menurutnya, selain Sarjana Perubatan Nuklear, hari pertama acara konvokesyen yang disempurnakan Tuanku Canselor, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail turut memperlihatkan kejayaan beberapa program sulung USM, termasuk Ijazah Sarjana Muda Sastera (Bahasa Inggeris untuk Profesional).

No comments:

Terima Kasih kerana sudi menapak. Jangan lupa tinggalkan komen untuk jejak anda:) SINCE 2012