Sunday, 21 October 2012

Kelantan lengkapkan kejuaraan treble

Kelantan berjaya melakar kemenangan dengan mengalahkan  Angkatan Tentera Malaysia (atm) semalam  di shah alam dengan jaringan gol 3-2.

Indra Putra Mahayuddin muncul wira pasukan 'The Red Warriors' apabila menjaringkan gol kemenangan pada masa tambahan selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 dalam perlawanan sepenuh masa 90 minit.
Kemenangan bersejarah itu sekali gus melengkapkan kejuaraan treble buat pasukan Kelantan selepas muncul juara Piala FA dan Liga Super musim ini, iaitu sesuatu yang kali terakhir dilakukan Kedah selama dua musim berturut-turut pada 2007 dan 2008.

Pencapaian anak buah Bojan Hodak mendakap piala keagungan bola sepak tanah air itu kali ini adalah yang kedua selepas kali pertama memenanginya pada 2010 apabila menumpaskan Negeri Sembilan 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Walaupun turun tanpa penyerang import dari Lubnan, Mohamed Ghaddar di jentera serangan, ia tidak sedikit pun menjejaskan asakan pasukan dari Pantai Timur itu bagi menyekat ATM daripada melakar sejarah menjulang piala berprestij itu buat pertama kali.
ke-11 utama


Barisan pemain ATM, yang digelar skuad 'The Gladiators' ternyata gagal menyekat kemaraan pasukan Kelantan sekali gus melepaskan peluang menebus kehampaan mereka di pentas final sulung 46 tahun lepas apabila tumpas 0-1 kepada Selangor.

Sebaik permainan bermula, Kelantan terlebih dahulu menguji 'kereta kebal' ATM yang diterajui pemain pertahanan kebangsaan Aidil Zafuan Abdul Razak.

Penyerang berbisa Norshahrul Idlan Talaha hampir meletakkan pasukan 'The Red Warriors' di hadapan pada minit ke-15 namun tindakan pantas penjaga gol ATM, Mohd Farizal Harun berjaya menyelamatkan keadaan dengan menepis keluar bola.

Kelincahan Norshahrul sering mengkucar-kacirkan benteng pertahanan 'The Gladiators' dan seminit sebelum separuh masa pertama tamat, beliau menyumbat gol pertama pasukan Kelantan menerusi sepakan leret dari dalam kotak penalti.

Tiga minit selepas permainan bersambung babak kedua, sepakan kencang pemain tengah ATM Rezal Zambery Yahya dari luar kotak penalti berjaya menyamakan kedudukan.

Bagaimanapun, kegembiraan pasukan ATM tidak kekal lama apabila Norshahrul menjaringkan gol kedua 'The Red Warriors' pada minit ke-50.

Walaupun ketinggalan, barisan pemain ATM tidak berputus asa dan mereka berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-62 menerusi tandukan pemain import Marlon Alex James hasil sepakan percuma daripada rakan sepasukan.

Kedudukan terikat 2-2 itu berlanjutan sehingga tamat perlawanan sebenar 90 minit.

Indra Putra muncul wira apabila rembatan cantiknya hasil hantaran Mohd Nurul Azwan Roya berjaya memperdaya Mohd Farizal pada minit ke-96 untuk memastikan kemenangan mutlak skuad The Red Warriors.

Norshahrul dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan akhir Piala Malaysia edisi ke-86 itu.

Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berkenan menyampaikan trofi Piala Malaysia kepada ketua pasukan Kelantan Mohd Badhri Mohd Radzi. 

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana sudi menapak. Jangan lupa tinggalkan komen untuk jejak anda:) SINCE 2012

Comments System

Disqus Shortname