Friday, 8 July 2016

Lemang Aidilfitri Mentua - Bahagian 1

||LEMANG AIDIFITRI MENTUA||Ini kisah lemang aku, kisah bagaimana lemang dihasilkan, kisah bagaimana susahnya untuk menghasilkan sebatang lemang, tapi hasilnya berbaloi dan digilai ramai  tanpa mengira jantina.

Lemang aidilfitri mentua adalah cubaan kali kedua untuk menghasilkan lemang buatan sendiri. Sebenarnya mentua dibelakang nama lemang aidilfitri itu sekadar nama untuk projek lemang, tiada kaitan dengan mentua sekalipun sebab aku ni masih mencari zaujah.ahaha

Cubaan kali pertama dalam menghasilkan lemang adalah pada Aidiladha tahun lepas 1436 H, Rancangannya nak buat lemang bakar, tapi cuaca tak mengizinkan, akhirnya jadi lemang rebus. Untuk lemang aidilfitri mentua, aku rancang nak bakar lemangnya. Menjadi atau tidak lemangnya?Nak tahu kena la follow bahagian ni.ee

Menyediakan Bahan Asas Lemang Aidilfitri Mentua.

Aku ingat nak sediakan bahan asas lemang seperti buluh, daun lerek, santan itu senang, rupanya senang cakap dari buat. Nak dapatkan buluh yang sesuai satu hal kena masuk hutan, nak dapatkan daun lerek ada ceritanya di tepi bukit, nak dapatkan santan pula bukan main susah kena panjat pokok , mesin kepala dan hasilkan santan. Perit semua ada, tambah pula masa penyediaan dia bulan puasa pula, hampir pengsan aku.

Buluh bukan sebarang buluh yang boleh pakai untuk lemang, ada jenis dan kelas dia, buluh yang lurus menegak, tidak tebal dan masih kelihatan miang yang berwarna putih adalah kategori sesuai untuk digunakan dalam penghasilan lemang. Buluh ni kebiasaannya tumbuh berhampiran kawasan sungai, kebun dan pinggir hutan.
Buluh lemang yang tumbuh berhampiran kebun
Daun lerek dan biasanya orang gantikanya dengan daun pisang. Daun lerek boleh diperolehi dari kawasan lembah atau berair di dalam kawasan bukit. Biasanya daun yang lebar akan diambil supaya senang untuk dimasukkan ke dalam buluh nanti. Nak dapatkan daun ni aku kena rentas sungai apa, penat gila masa ni, goyang kaki, ketar badan sebab puasa.

Santan pula diperolehi dari kelapa. Punya la tak nak keluarkan kos untuk santan, relakan diri panjat pokok kelapa sendiri ketika puasa. Bukannya rendah, taraf bangunan empat tingkat  plak tu. Masa ni la badan aku menggigil sekali lagi. Mana tidaknya, kuasa penuh diperlukan untuk menjatuhkan semua kelapa dari atas pokok.

Tapi penat untuk semua ini memberikan aku ilmu dan input yang berguna untuk projek lemang seterusnya. Beras pulut juga bahan yang penting untuk lemang. Nak dapatkan beras, tidaklah sesusah nak dapatkan buluh, daun lerek dan santan. Pergi pasar pagi dah dapat, cakap je berapa kilo nak. Yang ni aku ‘outsource’ je dekat orang pergi beli, sebab senang sangat. Ahah
Buluh dan Kelapa
Ok, selesai dalam penyedian bahan asas kepada projek lemang aidilfitri mentua, bagaimana pula cara keratan buluh, berapa panjang? Cara memasukkan daun lerek ke dalam buluh? Cara mendapatkan santan? Apa yang perlu dibuat selepasnya?. Jawapan kepada semua itu, kita jumpa untuk bahagian ke-2 dalam Lemang Aidilfitri Mentua. 

Sekian,

Selamat Hari Raya Aidilfitri||Maaf Zahir Dan Batin||

No comments:

Post a Comment

Terima Kasih kerana sudi menapak. Jangan lupa tinggalkan komen untuk jejak anda:) SINCE 2012

Comments System

Disqus Shortname